Kisah wali yang ke-21, Sahal bin Abdullah al-Tustari berkata, satu hari di belantara, saya bertemu dengan seorang perempuan tua yang nampaknya sangat miskin. Apabila saya beri dia wang, beliau menerimanya, mengangkat tangannya dan terus berdoa. Tak semena-mena, datang wang emas ke tangannya.
Tersenyum orang tua itu berkata, “Tuan mengambil wang dari saku tuan, tetapi saya mendapat wang dari kuasa Maha Ghaib.”
Setelah berkata demikian, orang tua itu pun hilang.
Apabila saya pergi ke Mekah, saya nampak orang tua itu di sisi Kaabah. Semasa saya bertawaf, saya lihat Kaabah itu bertawaf mengelilingi orang tua itu. Saya bertanya kepadanya, “Kenapa perkara ganjil ini terjadi?”
Beliau menjawab, “Orang yang datang mengunjungi Kaabah mestilah bertawaf mengelilingi Kaabah, tetapi orang yang datang ke Kaabah memfanakan diri dalam alam Kaabah, itulah yang bertawaf mengelilinginya.”
Mencari kebesaran atau takut kepada kedarwisyahan adalah bahaya kepada hidup kerohanian.
Demikian kata Sahal bin Abdullah al-Tustari.
Sahal berkata, “Tiap-tiap hari Allah menghantar kepada kita perutusan yang berbunyi:
‘Wahai hamba-Ku, Aku rindu hendak bertemu denganmu, tetapi kamu tidak ingat kepada-Ku. Aku ajak kamu datang kepada-Ku, tetapi kamu berpaling ke lain. Aku hindarkan bala bahaya dari perjalananmu, tetapi kamu terus juga melakukan dosa dan maksiat. Alangkah zalimnya kamu! Apakah jawapan tuan di hadapan Allah di akhirat kelak?’
Sahal berkata, orang yang benar-benar menghambakan dirinya kepada Allah, maka Allah akan menjaganya sampai waktu sembahyang sekiranya dia tertidur.”